24/02/2014

16 Terbunuh Dalam Konflik Politik Thailand Di Bangkok Sejak November Lepas


BANGKOK: Keganasan ekoran krisis politik Thailand di Bangkok sejak 30 Nov lepas telah mengorbankan 16 orang dan 695 orang cedera, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan pada Sabtu.

Mangsa terbaru dilaporkan terbunuh pada Selasa lepas dalam operasi membersihkan beberapa kawasan perkemahan apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang berkhemah di sini sejak akhir tahun lepas.

Operasi itu diberi nama Keamanan bagi Misi Bangkok tetapi sebaliknya operasi itu berakhir dengan keganasan.

Keganasan pertama meletus pada 30 Nov tahun lepas antara kumpulan prokerajaan dan kumpulan antikerajaan di Universiti Ramkhamhaeng di ibu negara ini.

Menurut pusat itu di bawah Pentadbiran Metropolitan Bangkok, sebanyak 24 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital.

Keganasan terbaru berlaku pada pukul 8.45 malam tadi di persimpangan Pratunam (dekat gedung membeli-belah borong yang terkenal bagi pelancong tempatan dan asing) apabila letupan kecil menyebabkan enam orang cedera ringan.

Hanya seorang daripada mereka yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di hospital sementara yang lain dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, keadaan di Bangkok pada malam hari dilaporkan tenang apabila polis melancarkan operasi untuk mengusir penunjuk perasaan daripada beberapa kawasan demonstrasi.

Keadaan aman itu adalah susulan keputusan Mahkamah Sivil, Rabu lepas, bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perintah darurat jika keadaan menjadi kritikal. - BERNAMA

sumber:mstar

No comments:

Post a Comment